1. PERCAYA
Pelanggan akan mudah membeli produk atau perkhidmatan daripada penjual yang dipercayai. Penjual perlu memastikan produk atau perkhidmatan dikenali dahulu dengan melakukan proses brand awareness. Penjual perlu memberikan keyakinan kepada pelanggan bahawa produk mereka dapat memberikan nilai kepada pelanggan. Penjual juga perlu mendapatkan dan mengumpulkan testimoni dari pelanggan yang pernah membeli produk mereka.
Anda sebagai penjual perlu membina kredibiliti selain daripada memastikan produk atau perkhidmatan dikenali. Anda perlu bersikap jujur dalam perniagaan dan menjaga hubungan baik dengan pelanggan. Anda tidak takut untuk menerangkan tentang kebaikkan termasuk kekangan produk anda.
2. CINTA & KASIH SAYANG
Pelanggan membeli kerana ingin menggembirakan orang yang tersayang seperti ibu bapa, pasangan, anak, adik beradik dan rakan-rakan. Ibu bapa akan membeli kek dan hadiah yang anak mereka suka semasa hari jadi. Pasangan akan memberi hadiah sempena anniversary perkahwinan dan rakan-rakan akan membeli hadiah untuk pasangan pengantin baharu. Anak-anak akan membeli produk kesihatan seperti ubat-ubatan atau vitamin kepada ibu bapa, datuk dan nenek mereka.
Mereka sanggup menghabiskan belanja yang besar untuk membeli sesuatu produk atau perkhidmatan sebagai tanda kasih sayang.
3. MUDAH
Pelanggan akan membeli produk atau perkhidmatan yang dapat membantu mereka memudahkan dan mempercepatkan sesuatu kerja. Banyak produk dan perkhdmatan di pasaran sekarang yang memudahkan pelanggan. Pada suatu masa dahulu, pelanggan perlu pergi dan menunggu di restoran untuk membeli makanan kegemaran tetapi sekarang boleh memesan menggunakan telefon dan makanan sampai di hadapan rumah dengan pantas.
Pelanggan juga akan membeli produk dan perkhidmatan yang dapat membantu mereka mendapatkan wang dengan lebih mudah dan cepat. Ramai pelanggan mengikuti kelas dan seminar tentang perniagaan di internet untuk berniagadi internet tanpa perlu untuk membuka kedai. Mereka juga membeli ebook dan mengikuti kelas dalam talian berbayar tentang perniagaan yang boleh menghasilkan keuntungan dengan mudah dan cepat. Pelanggan sanggup mengeluarkan duit yang banyak untuk membeli produk dan perkhidmatan yang dapat memudahkan mereka.
4. STATUS
Pelanggan membeli produk atau perkhidmatan yang dapat meningkatkan keyakinan diri dan imej mereka. Pelanggan membeli kereta yang mewah seperti BMW, Mercedes dan sebagainya untuk melambangkan status mereka yang kaya dan berjaya. Mereka membeli pakaian yang berjenama dan minyak wangi yang eksklusif untuk meningkatkan keyakinan mereka apabila berhadapan dengan orang lain.
Mereka sanggup menghabiskan wang dengan banyak untuk membeli produk dan perkhidmatan yang dapat membuatkan mereka nampak lebih yakin dan mendapatkan pengiktirafan daripada orang lain.
5. SELESA & PUAS
Pelanggan akan membeli produk atau perkhidmatan yang akan memberikan keselesaan kepada mereka. Jika anda menjual produk seperti bantal, anda perlu menerangkan ciri-ciri bantal yang akan membuatkan pelanggan berasa selesa apabila menggunakan bantal anda. Mungkin selama ini pelanggan susah untuk tidur malam tetapi sejak memiliki bantal anda, pelanggan boleh tidur nyenyak.
Pelanggan akan memilih restoran yang menyediakan makanan yang sedap. Pelanggan selalu datang untuk makan kerana mereka merasa puas dan menceritakan restoran tersebut kepada keluarga dan rakan-rakan mereka. Mereka juga akan berkongsi tentang kesedapan makanan di restoran tersebut dalam media sosial seterusnya menarik ramai lagi pelanggan untuk datang ke restoran tersebut.
6. SELAMAT
Pelanggan akan membeli produk atau perkhidmatan yang akan membuatkan diri dan keluarga mereka berasa selamat. Anda boleh menjual produk seperti insuran nyawa dan kesihatan kepada ibu bapa yang ingin mendapatkan perlindungan untuk anak mereka. Anda perlu menerangkan kepentingan produk anda untuk menjamin masa depan mereka.
Sejak wabak Covid -19 bermula, jualan produk seperti topeng muka dan hand sanitizer meningkat kerana pelanggan ingin selamat dari dijangkiti wabak penyakit. Pelanggan akan membuat sahaja seperti mengeluarkan belanja untuk memastikan mereka dan orang yang tersayang sentiasa merasa selamat.
7. PENINGKATAN KENDIRI
Ramai orang ingin berjaya dalam hidup seperti berjaya dalam kerjaya dan perniagaan. Mereka memerlukan motivasi dan ilmu untuk berjaya. Anda boleh menghasilkan ebook dan video tentang cara memulakan perniagaan di internet, teknik pemasaran produk yang berkesan dan banyak lagi topik dalam bidang pembangunan diri.
Anda boleh mengadakan kelas dan seminar seperti kelas teknik menguruskan kewangan peribadi, pelaburan, motivasi dan apa juga kepakaran serta ilmu yang anda miliki untuk dikongsikan dengan orang lain. Pada masa kini, terdapat banyak syarikat perunding dan latihan yang dapat menarik ribuan orang menjadi pelanggan mereka.
Anda perlu fokus kepada ciri-ciri dan kelebihan produk atau perkhidmatan anda yang membuatkan prospek bermotivasi untuk bertukar menjadi pelanggan anda.